Keanehan dan Keunggulan Buku
merupakan karya ketiga hasil tangan Shaharom TM Sulaiman selepas Ada Apa Dengan
Buku dan Buku Kekasih. Buah tangan Shaharom tidak pernah mengecewakan. Keanehan
dan Keunggulan Buku terbahagi kepada enam tema penting iaitu 1) Keterpesonaan
Terhadap Buku, 2) Pencinta Buku Dalam Aspek Penghayatan Budaya Membaca, 3)
Pembinaan Budaya Ilmu, 4) Gedung Ilmu: Pengukuhan Budaya Membaca, 5) Budaya
Pembukuan dan 6) Kecanggihan Teknologi Penerbitan.
Sebelum saya mengulas lanjut
mengenai buku ini ada baiknya saya perturunkan beberapa istilah menarik
mengenai dunia buku. Biblioholisme
bermakna kecanduan terhadap buku yang berlebihan untuk membeli, membaca,
menyimpan, dan mengagumi buku. Bibliomania
pula bermaksud gila buku manakala bibliofil
bermakna cinta buku. Seorang bibliomania hanya membeli buku untuk
mengumpulkannya sedangkan bibliofil membeli dan membaca buku yang di belinya
dengan harapan akan mendapat pengajaran daripada isi buku tersebut.
Bibliotaf pula ialah nama penyakit untuk seorang yang sangat
sayangkan buku dan minta buku-bukunya di kuburkan bersama tuan punya buku
apabila mati nanti. Istilah lain yang menarik ialah bibliokas yakni keinginan untuk menghancurkan buku. Bibliofogi merupakan penyakit jiwa yang
kronik kerana pengidap penyakit ini memakan buku! Biblionarsisis pula ialah seorang yang gemarkan koleksi buku;
ensiklopedia yang lengkap dengan almari yang tujuannya hanya untuk
bermegah-megah. Buku juga boleh di gunakan sebagai terapi untuk menyembuhkan
pengidap stress, kegelisahan dan gangguan jiwa. Terapi ini di kenali sebagai biblioterapi.
Membaca buku sememangnya
menyeronokkan. Pembaca akan tenggelam dalam bahan yang di bacanya. Untuk menghidupkan
tamadun yang tinggi rakyatnya perlu membaca dan mengamalkan budaya ilmu.
Tentang budaya ilmu, Shaharom banyak mengutip dari Penjelasan Budaya Ilmu karya Wan Mohd Noor Wan Daud. Tahap literasi yang tinggi belum menjamin mutu bacaannya. Karya
picisan dan popular semakin berlambak di pasaran. Karya ilmiah semakin terpinggir.
Sememangnya karya-karya ilmiah jarang mendapat tempat di hati pembaca. Karya
ilmiah selalu di sinonimkan dengan buku terbitan universiti. Menurut Shaharom,
buku-buku teks universiti lebih bersifat khusus untuk satu-satu bidang sedangkan
buku-buku ilmiah pula ialah buku umum yang sesuai untuk semua pembaca yang
menjangkaui disiplin bidang tertentu dan berorientasikan kesarjanaan dan keintelektualan.
Satu perkara lagi yang menarik
untuk diperbincang ialah mengenai kemunculan e-book. Secara peribadi, saya
lebih suka membaca secara konvensional – merasai dan memegang buku, menulis,
menconteng dan mengaris mana-mana ayat yang di rasakan penting dan menarik. Apakah kehadiran e-book
mampu menggugat pembacaan secara konvensiaonal? Saya rasa tidak walaupun
sedikit-sebanyak kaedah konvensional mendapat impak hasil kemunculan e-book. Namun saya terus percaya bahawa buku dalam bentuknya yang asal akan tetap wujud
kerana buku juga sebahagian dari nostalgia yang manis untuk di nikmati dengan
cara yang tersendiri – yang e-book sendiri tidak mampu tandingi.

0 Pentafsir Lain:
Post a Comment