9.3.12

Fitnah 2012 Konspirasi Galaktik - Muhammad Nurani Maarif

Buku ini pada beberapa bab agak mendukacitakan. Saya meletakkan harapan buku ini sebaik naskah pertama Nurani Maarif iaitu Membongkar Misteri Dajjal. Buku ini pada beberapa bab lebih kepada telahan/ramalan penulis yang pada saya tidak begitu baik untuk di letakkan dalam sebuah buku kerana ramalan/telahan boleh di buat oleh sesiapa sahaja. Mungkin kerana penulis buku ini menyiapkan naskah ini dalam masa kurang enam bulan, maka inilah hasilnya – agak mendukacitakan.

Terdapat beberapa isu menarik untuk di kongsi antaranya mengenai Saddam Hussien yang menurut penulis ialah Sufyani. Siapa Sufyani? Dalam salah sebuah hadis Nabi yang di riwayatkan oleh Abu Hurairah, as – Sufyani  merujuk kepada panglima perang Bani Kalb. Sufyani ialah orang yang menentang Imam Mahdi dan akan tenggelam di Biqa’. Terdapat dua orang Sufyani iaitu Sufyani kedua adalah putera kepada Sufyani pertama. Dalam kes ini, Sufyani kedua ialah anak kepada Saddam Hussien. Sufyani kedua lebih jahat dari ayahnya. Dia seorang lelaki yang musyawwah (cacat). Menurut penulis, anak Saddam Hussien adalah cacat akibat terkena tembakan.

Perkara lain yang menarik ialah mengenai Imam Mahdi yang menurut sesetengah ulama di Indonesia tidak wujud sama sekali. Namun bagi kita Ahli Sunnah Wal Jamaah, persoalan Imam Mahdi amat dekat dengan persoalan akidah iaitu kita percaya bahawa pada akhir zaman seorang penyelamat yang mempunyai nama dan perilaku seiras Nabi akan muncul dan memimpin bala tentera melawan musuh Islam. Imam Mahdi akan memimpin umat Islam sekitar tujuh hingga sembilan tahun. Imam Mahdi adalah manusia biasa yang di angkat/di muliakan oleh Allah dalam satu malam. Perwatakkannya sering melihatkan raut sedih kerana takutkan Allah. Imam Mahdi juga merupakan sosok yang akan mengembalikan Baitulmaqdis kepada orang Islam setelah di rampas oleh musuh Yahudi.

Fenomena Jajaran Galaktik yang di jangka akan berlaku pada 21 Disember 2012 adalah fenomena alam. Hanya setelah tanda-tanda besar terjadi dan berlaku, di antaranya zahir Imam Mahdi, kemudian di susuli dengan kemunculan Dajjal dan akhirnya akan turun pula Nabi Isa dari langit, maka dari situ sudah jelas dunia menuju ke pengakhirannya. Mungkin benar bahawa kita adalah mangsa para konspirator. Kita telah di caturkan. Antara buktinya ialah Albert Pike telah menulis mengenai Perang Dunia Ketiga sejak tahun 1870an lagi. Antara ketetapan dan perancangan yang di buat ialah:

  1. Meningkatkan ancaman perang nuklear, di semenanjung Korea dan Pakistan-India. Konflik nuklear perlu di kekalkan.
  2. Meyakinkan bahawa ancaman pengganas adalah benar dan mereka memiliki kuasa bom atom.
  3. Menjana kemusnahan ekonomi dan meningkatkan kebimbangan bahawa krisis ekonomi adalah sama seperti Great Depresseion sebelum Perang Dunia Ke 2.
  4. Mencetuskan huru-hara dunia, rusuhan dan dengan menerbitkan isu agama serta hak liberalisasi. 

1.3.12

Cerita Malam Pertama - Lufti Ishak

Lufti Ishak merupakan sosok yang tak perlu diperkenal lagi kepada khalayak umum khususnya masyarakat umum yang terlibat aktif dalam kasus sastera. Orang kuat DOM ini merupakan antara pengiat seni yang cemerlamg bintangnya dalam bidang cerpen. Selepas tekun membaca Masitah dan kemudiannya Rindu Seorang Rafik, inilah koleksi cerpen ketiga yang benar-benar mampu menggugah minat saya untuk menyelak helaian demi helaian untuk menghabiskan bacaan.

Benar, Lufti menghidangkan pembaca dengan cerita luar biasa. Bahasanya yang puisi dan melakonik di susun dengan penuh santun dan teratur. Bagi saya, bahasa bukan sahaja alat untuk menulis malah bahasa antara medium penting dalam sesebuah karya. Bahasa yang ‘kering’ kurang memikat saya untuk meneruskan bacaan seperti Kimono Ungu Bersulam Bunga. Saya tidak ragu-ragu mengatakan wacana Rebecca dalam Kimono Ungu Bersulam Bunga sungguh baik namun saya kira jika Rebecca mampu ‘belajar’ dari Mawar dan Nisah – dia juga mampu menulis cerpen dengan lebih baik.

Cerita Malam Pertama menghidangkan 16 buah cerpen dengan pelbagai latar antaranya yang menarik. Cerpen-cerpen ini di olah dengan baik oleh Lufti. Dalam cerpen Rahsia misalnya, Lufti menyindir sikap politikus yang hipokrit dan gila kuasa serta buas nafsu. Seorang bekas wartawan telah menjumpai sebuah diari milik seorang YB. YB inilah juga yang menggunakan kuasanya untuk memecat wartawan tersebut kerana menulis kisah skandalnya. Wartawan ini mendapat berita besar. Manakan tidak, diari peribadi YB ada bersamanya. Akhirnya, wartawan tersebut di tahan kerana telah ‘membongkar rahsia-rahsia kerajaan’ dan saya lantas teringat kes seorang wartawan yang telah di tahan kerana membongkar rahsia kerajaan tidak lama dahulu.

Cerpen Sungai bernada syahdu. Seorang lelaki yang tinggal dalam kepompong kenangannya bersama isteri dan anak angkat mereka. Sungai menjadi tempat lelaki ini mengail ikan dan sungai juga menjadi tempat nyawa isterinya di ragut akibat lemas ketika mencuci pakaian. Saya kira, nada sayu ini amat meruntun jiwa pembaca sama seperti ketika kita membaca Hari-Hari Terakhir Seorang Seniman atau Senjakala. Sungai merupakan antara cerpen yang saya suka. Lufti berjaya melukiskan suasana kampung dengan berkesan.

Cerita Malam Pertama merupakan buah tangan Lufti yang harus di baca kerana koleksi cerpen ini lebih baik dari Tiga Kali Seminggu karya Faisal Tehrani. 

24.2.12

Keanehan dan Keunggulan Buku - Shaharom TM Sulaiman & Salasiah Abd Wahab

Keanehan dan Keunggulan Buku merupakan karya ketiga hasil tangan Shaharom TM Sulaiman selepas Ada Apa Dengan Buku dan Buku Kekasih. Buah tangan Shaharom tidak pernah mengecewakan. Keanehan dan Keunggulan Buku terbahagi kepada enam tema penting iaitu 1) Keterpesonaan Terhadap Buku, 2) Pencinta Buku Dalam Aspek Penghayatan Budaya Membaca, 3) Pembinaan Budaya Ilmu, 4) Gedung Ilmu: Pengukuhan Budaya Membaca, 5) Budaya Pembukuan dan 6) Kecanggihan Teknologi Penerbitan.

Sebelum saya mengulas lanjut mengenai buku ini ada baiknya saya perturunkan beberapa istilah menarik mengenai dunia buku. Biblioholisme bermakna kecanduan terhadap buku yang berlebihan untuk membeli, membaca, menyimpan, dan mengagumi buku. Bibliomania pula bermaksud gila buku manakala bibliofil bermakna cinta buku. Seorang bibliomania hanya membeli buku untuk mengumpulkannya sedangkan bibliofil membeli dan membaca buku yang di belinya dengan harapan akan mendapat pengajaran daripada isi buku tersebut.

Bibliotaf pula ialah nama penyakit untuk seorang yang sangat sayangkan buku dan minta buku-bukunya di kuburkan bersama tuan punya buku apabila mati nanti. Istilah lain yang menarik ialah bibliokas yakni keinginan untuk menghancurkan buku. Bibliofogi merupakan penyakit jiwa yang kronik kerana pengidap penyakit ini memakan buku! Biblionarsisis pula ialah seorang yang gemarkan koleksi buku; ensiklopedia yang lengkap dengan almari yang tujuannya hanya untuk bermegah-megah. Buku juga boleh di gunakan sebagai terapi untuk menyembuhkan pengidap stress, kegelisahan dan gangguan jiwa. Terapi ini di kenali sebagai biblioterapi.

Membaca buku sememangnya menyeronokkan. Pembaca akan tenggelam dalam bahan yang di bacanya. Untuk menghidupkan tamadun yang tinggi rakyatnya perlu membaca dan mengamalkan budaya ilmu. Tentang budaya ilmu, Shaharom banyak mengutip dari Penjelasan Budaya Ilmu karya Wan Mohd Noor Wan Daud. Tahap literasi yang tinggi belum menjamin mutu bacaannya. Karya picisan dan popular semakin berlambak di pasaran. Karya ilmiah semakin terpinggir. Sememangnya karya-karya ilmiah jarang mendapat tempat di hati pembaca. Karya ilmiah selalu di sinonimkan dengan buku terbitan universiti. Menurut Shaharom, buku-buku teks universiti lebih bersifat khusus untuk satu-satu bidang sedangkan buku-buku ilmiah pula ialah buku umum yang sesuai untuk semua pembaca yang menjangkaui disiplin bidang tertentu dan berorientasikan kesarjanaan dan keintelektualan.

Satu perkara lagi yang menarik untuk diperbincang ialah mengenai kemunculan e-book. Secara peribadi, saya lebih suka membaca secara konvensional – merasai dan memegang buku, menulis, menconteng dan mengaris mana-mana ayat yang di rasakan penting dan menarik. Apakah kehadiran e-book mampu menggugat pembacaan secara konvensiaonal? Saya rasa tidak walaupun sedikit-sebanyak kaedah konvensional mendapat impak hasil kemunculan e-book. Namun saya terus percaya bahawa buku dalam bentuknya yang asal akan tetap wujud kerana buku juga sebahagian dari nostalgia yang manis untuk di nikmati dengan cara yang tersendiri – yang e-book sendiri tidak mampu tandingi.